• 2025-09-05 04:23 PM

GEORGE TOWN: Muzium Feri Pulau Pinang terapung di perairan Pengkalan Weld di sini akan dibuka secara rasmi pada 16 September sempena Hari Malaysia dengan difahamkan ia merupakan muzium feri penumpang pertama seumpamanya di dunia.

Muzium unik itu dibangunkan hasil proses pemulihan menyeluruh terhadap sebuah feri iaitu “Pulau Pinang” yang pernah digunakan untuk menghubungkan terminal feri Pangkalan Sultan Abdul Halim di sini dan tanah besar bermula 2002 namun telah dihentikan.

Pengarah Muzium Feri Pulau Pinang Abdul Hadi Abu Osman berkata kewujudan muzium feri itu memfokus kepada penceritaan sejarah feri Pulau Pinang sejak 1893 sehingga menjadikan pengangkutan air tersebut sinonim dengan Pulau Mutiara.

Proses pemulihan dilaksanakan sebuah syarikat swasta yang memenangi tender Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang pada 2021 dan mengambil masa lebih dua tahun sejak dimulakan awal 2022.

Walaupun berlaku insiden teknikal yang menyebabkan feri tenggelam selepas restorasi, pihaknya berjaya menyelamatkannya dalam tempoh dua minggu dan meneruskan projek sehingga siap pada 2024.

Kos pemulihan asal dianggarkan 7 juta ringgit namun meningkat kepada 10 juta ringgit iaitu kos tambahan selepas insiden tersebut.

Kewujudan muzium itu juga sebagai usaha memperingati dan memelihara legasi perkhidmatan feri Pulau Pinang yang penting dalam sejarah landskap pengangkutan, budaya dan sosial negeri sejak berdekad lamanya.

Abdul Hadi berkata muzium itu dibuka kepada pengunjung awam melalui fasa percubaan bermula 30 Ogos khusus kepada pemegang tiket awal yang diperkenalkan melalui siri jelajah sejak tiga bulan lepas.

Muzium itu menawarkan pengalaman unik menerusi pelbagai ruang pameran interaktif di dalam feri asal sepanjang 56 meter dan lebar 12 meter dengan keluasan keseluruhan 557.41 meter persegi.

Antara keistimewaan ditawarkan ialah akses penuh ke semua empat tingkat feri termasuk bilik enjin di tingkat bawah dan bilik kapten mengemudi feri di tingkat teratas.

Antara artifak dipamerkan ialah komponen dan bahan asal feri termasuk ada yang sudah dilupuskan atau tenggelam namun berjaya diselamatkan semasa proses baik pulih.

Kandungan dan naratif muzium disusun sesuai untuk pelbagai peringkat umur dengan pihaknya juga menghidupkan semula sejarah penggunaan feri menerusi kaedah penceritaan.

Muzium itu dibuka dari 9 pagi hingga 10 malam setiap hari dengan 150 pengunjung dibenarkan berada di atas feri serentak. – Bernama