Your Title

KUALA LUMPUR: Persatuan Air Malaysia (MWA) menggesa tindakan segera untuk mengangkat sektor air sebagai keutamaan negara dan mempertimbangkan air sebagai isu keselamatan negara.

Presidennya Dr Mohmad Asari Daud dalam kenyataan hari ini berkata MWA berdiri teguh menyokong kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Charles Santiago baru-baru ini mengenai perkara itu kerana langkah mengutamakan sektor air akan meningkatkan perancangan kerajaan dan peruntukan sumber.

“Kami bersetuju bahawa dengan peruntukan yang mencukupi, langkah penting dapat dibuat dalam mengurangkan air tidak terhasil, membersihkan sungai dan memajukan pembangunan infrastruktur penting. Syarikat yang meninggalkan Malaysia kerana bekalan air tidak mencukupi menandakan seruan kritikal untuk bertindak.

“MWA mengukuhkan pendirian pengerusi bahawa penglibatan sektor swasta adalah penting untuk kejayaan kolektif kita. Dengan memanfaatkan amalan inovatif seperti penuaian air permukaan dan penggunaan gajet air yang cekap, penggunaan semula dan kitar semula air, kita dapat menangani cabaran mendesak yang dihadapi sektor air,“ katanya.

Mohmad Asari berkata persatuan itu komited bekerjasama dengan SPAN dan rakan kongsi swasta untuk mengubah sistem pengurusan air sambil memastikan masa depan air yang mampan dan terjamin untuk Malaysia.

Beliau juga menggesa semua pihak berkepentingan untuk bersatu dalam usaha itu, mengakui bahawa sumber air adalah penting untuk kesejahteraan dan kemakmuran negara.-Bernama