ISTANBUL: Suruhanjaya Pilihan Raya Myanmar pada Isnin mengumumkan bahawa pilihan raya umum akan diadakan di negara itu pada 28 Dis, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik media kerajaan.
“Pilihan raya umum demokrasi berbilang parti” itu akan diadakan pada Ahad, 28 Dis tahun ini, lapor MRTV, memetik pemberitahuan Kesatuan Suruhanjaya Pilihan Raya.
Pilihan raya umum terakhir di negara majoriti Buddha di Asia Tenggara itu diadakan pada November 2020 yang dimenangi oleh Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD), sebelum digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada Februari 2021.
Pengumuman pilihan raya itu dibuat selepas kerajaan tentera Myanmar bulan lalu menubuhkan sebuah suruhanjaya untuk memantau pilihan raya umum, yang secara efektif menandakan berakhirnya pemerintahan darurat.
Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara Myanmar, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing turut melantik dirinya sebagai pemangku presiden.
Rampasan kuasa tentera pada 2021 itu menggulingkan kerajaan pimpinan NLD yang dipilih dan menyebabkan negara itu berada di bawah pemerintahan darurat lebih empat tahun.
U Myint Swe, yang dilantik sebagai pemangku presiden oleh kerajaan tentera selepas rampasan kuasa pada 2021, meninggal dunia awal bulan ini. Beliau berusia 74 tahun - BERNAMA-ANADOLU