IPOH: Dua penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang sebelum ini dirawat di zon merah Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini kini dilaporkan stabil, kata Pengarah HRPB Dr Saiful Azlan Sharif.
Beliau berkata kedua-dua mangsa, iaitu Lili Suzana Mat Yaakob, 23, dan Nor Erika Elysha Mohd Zaidi, 21, kini dirawat di wad biasa.
“Kedua-dua kita lihat mengalami kecederaan pada bahagian kepala. Semasa penilaian dilakukan ... kita dapati kecederaan tidak seteruk yang disangkakan.
“Cuma Lili Suzana, lebih kepada kecederaan di kepala tetapi tidak tenat, dan kedua-dua pelajar telah pun sedar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, beliau mengiringi Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad melawat kedua-dua mangsa.
Dr Saiful Azlan berkata Nor Erika Elysha juga mengalami kecederaan di bahagian tangan, iaitu patah tangan dan menerima rawatan secara berperingkat mengikut keutamaan.
Beliau berkata setakat ini pihaknya masih belum pasti sekiranya dua pesakit berkenaan mahu berpindah ke hospital di Terengganu dan jika ada, perkara itu akan dibincangkan bersama waris.
Sementara itu, Noraini Ahmad berkata selain sumbangan kepada ahli keluarga mangsa, pihaknya telah memaklumkan kepada pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu untuk menghubungi semua keluarga mangsa untuk menawarkan perkhidmatan kaunseling.
Noraini berkata pihaknya juga menyerahkan sumbangan daripada JKM dan Yayasan Kebajikan Negara kepada mangsa yang terlibat.
Dalam pada itu, beliau turut berkongsi perbualan sewaktu melawat Lili Suzana yang masih trauma.
“Dia (Lili Suzana) sedang tidur, kawannya kejutkan dia mengatakan bas itu dipandu laju dan dia sendiri berapa kali beritahu pemandu supaya jangan bawa laju,” katanya.
Dalam kejadian awal pagi semalam, 15 penuntut UPSI maut apabila bas yang dinaiki terbalik dalam kemalangan di KM53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), berhampiran Tasik Banding, Gerik.
Bas yang disewa khas oleh pelajar itu berlepas dari Jertih, Terengganu pada 9 malam Ahad dan dalam perjalanan ke kampus di Tanjung Malim, Perak.