KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) mendedahkan lori muatan batu kerikil yang terlibat dalam nahas tragis membabitkan kenderaan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan bulan lepas tidak mempunyai kebenaran sah untuk membawa muatan berkenaan.
Laporan awal siasatan kemalangan mendapati lori jenis tipper itu sepatutnya hanya dibenarkan membawa muatan arang batu, namun ketika kejadian ia membawa batu kerikil dengan muatan mencecah 40,960 kilogram - melebihi 70 peratus daripada had muatan yang dibenarkan.
Kenderaan itu juga didapati tidak dilengkapi Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) seperti diwajibkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Lori berkenaan melanggar syarat Lesen Kebenaran Bertulis yang diperuntukkan di bawah Seksyen 57 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010,“ menurut laporan itu.
Dalam nahas pada 8.54 pagi 13 Mei lepas, sembilan anggota FRU terkorban manakala sembilan lagi cedera selepas lori FRU yang dinaiki mereka bertembung dengan lori tipper berkenaan yang dipercayai memasuki laluan bertentangan.
Laporan berkenaan turut menyatakan bahawa siasatan lanjut oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang dijalankan dan kertas siasatan akan diserahkan kepada pihak pendakwaan dalam masa terdekat.
“Ketiadaan tali pinggang keledar dan reka bentuk tempat duduk ‘bench’ di bahagian belakang lori FRU menyumbang kepada jumlah korban yang tinggi, “ menurut laporan itu.
Menurut laporan itu, mekanisme kecederaan mangsa dalam lori FRU turut diburukkan dengan kehadiran objek yang tidak diikat di dalam kabin, yang berpotensi menjadi projektil sekunder semasa pelanggaran.
“Gabungan antara ketiadaan sistem kekangan dan kewujudan objek tidak diikat ini dipercayai menjadi faktor penyumbang utama kepada kadar kecederaan parah dan kematian yang tinggi dalam insiden ini.
“Selain itu, siasatan turut mendapati bahawa tiada petunjuk kewujudan kemudahan tali pinggang keledar di tempat duduk hadapan termasuk di bahagian pemandu dan penumpang hadapan lori FRU,” menurut laporan itu.
Selain itu, tempat duduk jenis bangku atau bench trak FRU itu yang menempatkan kebanyakan penumpang juga dipercayai tidak memenuhi spesifikasi Peraturan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) No. 17 atau Peraturan PBB No. 80.
Laporan berkenaan juga menyatakan lori tipper berkenaan memasuki laluan bertentangan iaitu laluan yang sedang dilalui oleh konvoi FRU dan bertembung dengan trak FRU. S
“Akibat perlanggaran berkenaan, kedua-dua lori terbalik ke sisi kiri masing-masing dan berada di kedudukan akhir dalam keadaan mengiring. Kejadian berlaku dalam keadaan cuaca baik dan permukaan jalan kering,“ menurut laporan itu.
Selain itu, tiada bukti yang menunjukkan sebarang kegagalan mekanikal menyumbang secara langsung kepada kemalangan itu.
“Secara keseluruhan, berdasarkan pemeriksaan teknikal, semua sistem mekanikal utama lori seperti brek, tayar, stereng dan suspensi didapati berada dalam keadaan memuaskan dan mematuhi piawaian ditetapkan,” menurut laporan itu.
Laporan sama turut memaklumkan bahawa pemandu lori muatan batu berusia 45 tahun itu mempunyai rekod 13 saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain satu saman JPJ.
Syarikat lori berkenaan juga dilaporkan gagal ujian Pemeriksaan dan Audit Keselamatan JPJ (JISA) dengan hanya memperoleh skor 17 berbanding skor 70 yang diperlukan untuk lulus.
“Ini termasuk kegagalan dalam kesemua tujuh perkara mandatori JISA,” menurut laporan itu.
Selain itu, hasil siasatan awal turut mengenal pasti wujudnya kelompangan dalam aspek pengurusan keselamatan dan pengoperasian kenderaan lori tipper.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti faktor-faktor penyumbang lain (kemalangan) yang mungkin terlibat, termasuk faktor manusia, organisasi, kenderaan dan lain-lain yang berkaitan,“ menurut laporan itu.