IPOH: Hanya tujuh mangsa yang cedera dalam nahas bas meragut 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik, masih dirawat di tiga hospital kerajaan setakat hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gerik DSP Muhammad Firdaus Abdullah berkata empat pelajar dirawat di dua hospital, iaitu masing-masing dua di Hospital Taiping dan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

“Tiga mangsa, iaitu seorang perempuan dan dua kanak-kanak penumpang kereta Alza yang turut terlibat dalam kemalangan itu masih menerima rawatan di Hospital Baling, Kedah.

“Setakat ini, mangsa lain yang dirawat telah dibenarkan pulang,“ katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pada Isnin lepas, bas membawa 42 pelajar UPSI yang dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu, dikatakan hilang kawalan sebelum melanggar Perodua Alza dan terbalik di KM53 JRTB, Gerik-Jeli, sehingga meragut 15 nyawa penuntut UPSI.

Kemalangan itu juga menyebabkan 33 lagi cedera dan dirawat di beberapa hospital sekitar Perak dan Kedah.