SEREMBAN: Kesemua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Negeri Sembilan diarah mengenal pasti semua pokok yang berbahaya dan berisiko tumbang terutama di kawasan tanah persendirian.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri J. Arul Kumar berkata ini berikutan berlaku kes kemalangan disebabkan pokok tumbang di beberapa kawasan termasuk di Seremban.

“Memang betul kes berlaku libatkan tanah persendirian, saya telah minta PBT, jika ada pokok berisiko di tepi jalan utama dan di kawasan perumahan yang memang ada tanah persendirian di sebelah itu, perlu kenal pasti dan kita akan hantar notis kepada pemilik tanah supaya ambil tindakan.

“Jika tidak ambil tindakan kita akan kaji untuk mengenakan tindakan undang-undang terhadap mereka. Saya minta PBT untuk kenal pasti sebelum berlaku kejadian tidak diingini pada masa akan datang,“ katanya pada sesi pertanyaan lisan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan celahan Kamarol Ridzuan Mohd Zain (PN-Paroi) yang ingin tahu tindakan kerajaan negeri terhadap pokok berisiko tumbang yang berada di kawasan tanah persendirian.