SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menguatkuasakan larangan minum minuman keras di kawasan awam termasuk taman rekreasi, padang, taman permainan kanak-kanak, dan pantai berkuat kuasa serta-merta.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata langkah itu diambil bagi menghormati sensitiviti orang ramai yang menggunakan tempat tersebut untuk beriadah.
Penguatkuasaan akan dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis, dengan kompaun maksimum RM2,000 boleh dikenakan terhadap mereka yang melanggar peraturan.
“Kami tidak menghalang sepenuhnya, tetapi mereka perlu minum di tempat yang sesuai seperti kedai atau premis tertutup, bukan di kawasan awam,“ jelas Aminuddin selepas mempengerusikan mesyuarat Exco.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan J. Arul Kumar menyatakan bahawa banyak aduan diterima berkenaan gangguan bising, pergaduhan, dan pembuangan botol minuman keras di kawasan awam.
“Kejadian seperti kanak-kanak tercedera akibat pecahan botol minuman keras telah berlaku. Ini menjejaskan keselesaan orang ramai yang ingin beriadah,“ katanya.