SEREMBAN: Negeri Sembilan merekodkan 110 kes baharu COVID-19 pada Minggu Epidemiologi ke-23 (ME 23) bagi tempoh 1 hingga 7 Jun lepas.
Pengarah Kesihatan negeri Dr Zuraida Mohamed berkata jumlah itu meningkat sebanyak 13.0 peratus berbanding 97 kes yang dilaporkan pada minggu sebelumnya.
“Majoriti kes dilaporkan oleh klinik swasta di seluruh Negeri Sembilan dan dirawat sebagai kes pesakit luar. Bagaimanapun, tiada kluster COVID-19 dilaporkan hingga kini dan situasi adalah terkawal.
“Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) akan terus memantau status kes COVID-19 secara berterusan,“ katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa mengamalkan langkah pencegahan kawalan kendiri, khususnya kumpulan berisiko tinggi yang digalakkan untuk mendapatkan vaksinasi COVID-19 bagi mengurangkan risiko jangkitan, komplikasi serius dan kematian.