MOSCOW: Pengeluar elektronik dari Finland, Nokia akan mengetuai sebuah projek teknologi tanpa pengendali bagi melindungi infrastruktur di Eropah, menurut syarikat itu pada Rabu, lapor Sputnik/RIA Novosti.
“Nokia telah dipilih untuk mengetuai PROACTIF, sebuah projek yang dibiayai oleh Inisiatif Bersama Cip Kesatuan Eropah. Projek ini bertujuan memperkukuh daya tahan teknologi dan kepimpinan Eropah dalam teknologi Elektronik, Komponen dan Sistem (ECS), serta menyokong autonomi industri dron dan robotik Eropah,” menurut kenyataan Nokia.
Menurut syarikat itu, konsortium berkenaan akan menggabungkan 42 syarikat teknologi Eropah dari 13 negara.
Projek ini dijangka mentakrif semula cara pengurusan situasi kecemasan serta infrastruktur kritikal di Eropah. Ia juga akan menyatukan institusi akademik, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta peneraju industri bagi membangunkan sistem kenderaan tanpa pengendali (UxV) yang “berteknologi tinggi, menjimatkan kos, mesra alam, selamat dan terjamin keselamatan siber,” menurut kenyataan itu.
Nokia menjangkakan hasil pendapatan sebanyak 90 juta euro (US$102.4 juta) menjelang 2035, selain membangunkan 50 produk dan 15 paten industri baharu, tambah kenyataan itu.