BUKIT MERTAJAM: Seorang jurukur maut selepas dipercayai terjatuh ke dalam lubang dengan anggaran ketinggian 27 meter, dari tingkat lapan di sebuah tapak pembinaan di sini semalam.
Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang Hairozie Asri berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan maut itu pada 10.30 pagi dan sepasukan pegawai penyiasat JKKP negeri terus ke lokasi kejadian.
“Mangsa seorang lelaki tempatan, juruukur (verticality surveyor) berusia 41 tahun yang bekerja dengan syarikat subkontraktor di tapak pembinaan itu telah disahkan maut setelah dipercayai terjatuh dari tingkat lapan bangunan, melalui lubang yang terdapat di kawasan pressurisation shaft dan ia berlaku ketika mangsa sedang menjalankan kerja-kerja mengukur di kawasan lif lobi bangunan berkenaan.
“Siasatan awal mendapati kawasan lubang terbabit hanya ditutup dengan papan lapis dan berpagar, namun dipercayai tidak mencukupi untuk menampung beban atau memberi perlindungan kepada pekerja,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata JKKP Pulau Pinang telah menjalankan siasatan serta-merta pada hari kejadian dan mengeluarkan tiga Notis Larangan kepada kontraktor utama bagi menghentikan kerja-kerja berkaitan sehingga langkah-langkah keselamatan dipatuhi.
Hairozie berkata pihaknya juga telah mengarahkan kontraktor utama untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dan langkah penambahbaikan serta membuat pembentangan kes kepada JKKP negeri sementara JKKP negeri akan mendapatkan dokumen-dokumen berkaitan serta merakam percakapan dalam pemeriksaan bagi semua saksi yang telah dikenal pasti.
“Lawatan susulan ke premis majikan akan dijalankan selepas tindakan penambahbaikan dan pencegahan diambil, kami juga akan mengambil tindakan perundangan di bawah Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Pindaan) 2022 sekiranya berlaku pelanggaran di bawah akta berkenaan,“ katanya.