Your Title

PUTRAJAYA: Datuk Nor Azmie Diron dilantik Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkuat kuasa hari ini.

Sebelum pelantikan itu, Nor Azmie, 53, yang telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 27 tahun adalah Timbalan Ketua Pengarah (Makro) EPU.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam kenyataan hari ini berkata pelantikan Nor Azmie adalah berdasarkan kelayakan serta pengalaman beliau sepanjang memegang beberapa jawatan dalam pelbagai bidang.

Beliau berkata Nor Azmie berpengalaman dalam bidang pengurusan kewangan, ekonomi makro dan penswastaan di Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

“Saya percaya dengan pengalaman dan kredibiliti yang dimiliki, Nor Azmie dapat menjayakan visi EPU sebagai peneraju pembangunan sosioekonomi negara yang inklusif, progresif dan mampan demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Nor Azmie berkhidmat dalam perkhidmatan awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik bermula pada 25 Januari 1995 dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Ekonomi dari Universiti Malaya dan ljazah Sarjana Pengurusan Teknologi Maklumat, Universiti Kebangsaan Malaysia. - Bernama