KOTA BHARU: Seorang lelaki ditemukan lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi di Sungai Kenerong, Dabong, Kuala Krai hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai Supt Mazlan Mamat berkata mangsa yang berusia 47 tahun itu dari Kampung Dabong dipercayai ke sungai berkenaan pada 12.30 tengah hari tadi untuk mandi-manda bersama sembilan rakannya.
“Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa turun terlebih dahulu untuk memeriksa kedalaman air sungai tetapi telah dibawa arus deras dan terus hilang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mazlan berkata mayat mangsa ditemukan kira-kira 4.13 petang oleh pasukan penyelamat dan kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk bedah siasat.
Sementara itu, Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Zaid Ibrahim berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa digerakkan pada 2.15 petang dengan kekuatan sebanyak 10 anggota bersama tiga anggota polis.
“Setelah operasi SAR dijalankan selama dua jam, anggota penyelamat menemukan mangsa tersangkut pada batu di kedalaman kira-kira 3.7 meter, tidak jauh dari lokasi,“ katanya.