KUALA LUMPUR: Pengusaha bas ekspres kini mengambil langkah proaktif dengan menampal notis peringatan di pintu bas bagi mengingatkan penumpang tentang kewajipan memakai tali pinggang keledar.
Arahan ini berkuat kuasa hari ini selepas pengumuman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang membolehkan denda RM300 dikenakan terhadap mereka yang melanggar peraturan.
Pemandu bas ekspres Umar Abdullah, 43, berkata pihak syarikat telah mengarahkan pemandu membuat pengumuman sebelum perjalanan bermula.
“Notis juga sedang dipasang di dalam dan luar bas supaya penumpang sentiasa ingat,“ katanya ketika ditemui di Stesen Sentral Kuala Lumpur.
Tinjauan Bernama mendapati notis pemakaian tali pinggang keledar turut dipamerkan di kaunter tiket.
Abdul Hamid Taharim, 53, seorang lagi pemandu bas, menyokong langkah ini sebagai usaha mengurangkan risiko kemalangan.
“Selepas insiden bas pelajar baru-baru ini, kesedaran orang ramai semakin meningkat,“ katanya.
Di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), pemandu Yellow Star Express Mohd Azlan Jusoh, 51, berpendapat denda RM300 adalah wajar.
“Dengan jumlah itu, orang pasti akan patuh,“ ujarnya.
Penumpang seperti Aliah Shamira Yusri, 23, dan Nor Azira Syafiza Zuhairul, 26, turut menyokong peraturan ini.
“Bas tiada beg udara, jadi tali pinggang keledar penting untuk keselamatan,“ kata Aliah.