KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan wanita profesional, Goh Jin Wei, dicabar melakar kejutan ke atas pemain di ranking 10 terbaik dunia menjelang Sukan Olimpik 2024.

Jurulatihnya, Nova Armada juga menuntut Jin Wei mengekalkan stamina sekiranya mahu menyaingi kehebatan pemain berkelas dunia lain dalam mana-mana kejohanan sebelum ke Paris 2024.

Biarpun tersingkir seawal pusingan kedua pada Terbuka Malaysia 2024 semalam, beliau berkata anak buahnya yang menghuni ranking ke-31 dunia membuktikan mampu memberi tentangan sengit kepada pemain nombor tujuh dunia, Gregoria Mariska Tunjung sebelum tumpas kepada wakil Indonesia itu, 15-21, 22-24.

“Saya puas hati (persembahan Jin Wei) kerana staminanya sudah bertambah baik dan semangat juangnya telah kembali, walaupun tewas namun saya fikir jika main rubber set ada peluang untuk menang,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Jurulatih dari Indonesia itu turut menaruh harapan pemain berusia 23 tahun tersebut mampu mencapai tahap kecergasan 100 peratus dalam masa tiga bulan lagi.

Jin Wei masih belum pulih sepenuhnya sejak menjalani pembedahan kolektomi pada 2019 akibat sakit perut.

Nova juga mahu melihat agar pemain kelahiran Pulau Pinang tersebut menampilkan permainan menarik dalam tiga kejohanan besar disertainya menjelang Sukan Olimpik 2024 iaitu Terbuka Perancis (Super 750), Seluruh England (Super 1000) dan Kejohanan Badminton Asia (BAC).

Terbuka Perancis dijadual berlangsung dari 5-10 Mac diikuti Seluruh England bermula 12-17 Mac dan BAC pula dari 9-14 April.

Juara dunia junior wanita pada 2015 dan 2018 itu mempunyai peluang cerah untuk layak ke Paris 2024, menduduki tempat ke-28 dalam kelayakan Sukan Olimpik.

Pemain wanita terbaik negara seterusnya dalam ranking itu ialah K. Letshanaa (63), diikuti oleh S. Kisona (85) dan Wong Ling Ching (93).

Mengikut kriteria kelayakan Paris 2024, sejumlah 35 tempat kuota, satu tempat negara tuan rumah dan dua tempat global diperuntukkan untuk acara perseorangan.

Sebuah negara hanya boleh mempunyai maksimum dua pemain dalam satu kategori perseorangan jika kedua-duanya berada di kedudukan 16 teratas pada penghujung tempoh kelayakan Race to Paris dijadual 28 April ini.–Bernama