MALAYSIA merupakan sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian, di mana rakyat daripada pelbagai etnik, bahasa, dan agama hidup bersama.

Namun begitu, satu perkara yang benar-benar menyatukan kita adalah kerelaan dan kesanggupan kita untuk saling membantu di saat memerlukan.

Semangat perpaduan dan keharmonian ini telah dirakam di dalam sebuah video TikTok yang tular, menunjukkan dua orang lelaki tampil membantu seorang orang kurang upaya (OKU) selepas mendapati lif di stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) tidak berfungsi.

Video oleh @ismailazemin itu menunjukkan dirinya sedang berada di sebuah stesen KTM dan ingin menggunakan lif.

Tetapi malangnya, lif tersebut sedang dalam penyelenggaraan, menyebabkan dia tiada pilihan lain selain menggunakan tangga.

Melihat kesulitannya, dua lelaki berhati mulia segera tampil membantu.

Individu yang memakai topi keledar, mengangkat bahagian depan kerusi roda, manakala seorang lagi menyokong bahagian belakang.

Dengan berhati - hati, mereka mengangkatnya menaiki tangga, memastikan keselamatannya di setiap langkah.

Terharu dan berterima kasih, lelaki berkerusi roda itu kemudiannya meluahkan: “Syukur Allah hadirkan dengan orang baik. Walaupun sedang berpuasa, mereka masih sudi membantu. Terima kasih orang baik-baik.”

Kejadian itu dipercayai berlaku di KTM Bukit Mertajam.

Video yang menyentuh hati itu mendapat perhatian dan tular di TikTok dengan lebih 425,000 tontonan dan 685 komen.

Rata-rata netizen Malaysia memuji kedua-dua lelaki dan juga mendoakan kesejahteraan mereka atas sifat dan tindakan prihatin mereka tersebut.

“Saya doakan orang–orang yang tolong encik ni, sepanjang berpuasa mereka tidak letih dan tidak berasa lapar.

Sepanjang jalan ‘traffic light’ sentiasa hijau, dan dalam poket sentiasa ada duit,” komen Noraziwani Abdul Aziz.

“Aku proud sangat dengan abang kemeja biru, momentum bahagian tu yang plaing berat. “Semoga dengan pertolongan mereka di bulan baik ini, pahala berlipat kali ganda,” kata AnitaEta.

Terdapat juga yang berkongsi pengalaman sendiri menghadapi situasi yang hampir sama: “Terima kasih orang baik, begitulah jamu jika ada gangguan akses OKU. Saya haritu dekat Bukit Bintang, naik LRT, tak tahu pula tiada akses OKU jika menggunakan LRT. Harap lepasni lebioh banyak kemudahan untuk OKU.”

“Memang kecewa dengan fasiliti dan kemudahan untuk OKU di Malaysia ni, tengah mengalami sebab suami juga menggunakan wheelchair.

Semoga yang tolong dipermudah segala urusan dunia akhirat,” kata Hannyysyaa.