JOHOR BAHRU: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar dipilih sebagai Timbalan Presiden yang baharu selepas memenangi pemilihan bagi jawatan itu untuk sesi 2025-2028.

Keputusan rasmi itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa pada Kongres Nasional 2024/2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada malam ini.

Beliau menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Rafizi Ramli yang juga Menteri Ekonomi selepas memperoleh 9,803 undi.

Proses memilih barisan kepimpinan bagi Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat dan Majlis Pimpinan Wanita Pusat parti itu, yang bermula dari 8 pagi dan berakhir pada 5 petang, membabitkan keseluruhan 32,030 pengundi secara fizikal serta dalam talian.

Kongres itu, yang dirasmikan oleh Presidennya iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut dihadiri Pengerusi Majlis Penasihat PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan barisan kepimpinan tertinggi parti.

Turut hadir Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu Sabah (UPKO) Datuk Ewon Benedick, Setiausaha Agung Barisan Nasional Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Diberi jolokan sebagai ‘Puteri Reformasi,’ Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Pulau Pinang itu juga berjaya mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Cabang Permatang Pauh pada pemilihan peringkat Cabang baru-baru ini.

Pada pemilihan 2022, Nurul Izzah, 44, yang tidak menawarkan diri untuk bertanding, telah dilantik sebagai Naib Presiden PKR.

Sementara itu, Rafizi yang pernah menjadi Bendahari Pemuda Keadilan (2003), Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Keadilan (2003), dilantik sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Bendahari Majlis Pimpinan Negeri Terengganu pada 2009, berjaya memenangi jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan 2022.

Beliau berjaya menewaskan bekas Setiausaha Agung Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Pemilihan kepimpinan sesi 2025-2028 menyaksikan seramai 251 calon menawarkan diri bertanding dalam pemilihan, merangkumi 104 pencalonan bagi MPP, 85 calon bagi Majlis Pimpinan AMK dan 62 bagi Majlis Pimpinan Wanita.