• 2025-08-15 05:17 PM

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar mengecam sekeras-kerasnya insiden serangan terhadap anak lelaki Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, Rabu lepas.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di Instagram, Nurul Izzah berkata beliau mewakili PKR dan turut mendesak pihak berkuasa untuk bertindak segera, menyiasat dengan telus serta memastikan pelaku dibawa ke muda pengadilan tanpa kompromi.

“Tiada seorang pun kanak-kanak sepatutnya terdedah kepada bahaya sebegini. Tindakan sebegini bukan sahaja merupakan jenayah besar malah telah melanggar prinsip asas kemanusiaan,“ katanya.

Menyifatkan serangan ke atas kanak-kanak berusia 12 tahun itu amat mengerikan, Nurul Izzah berkata sebagai seorang manusia dan ibu, beliau memahami keresahan serta kegusaran yang sedang ditanggung oleh Rafizi dan keluarganya.

“Saya berasa amat terkesan kerana sejak beberapa minggu kebelakangan ini, saya menumpukan perhatian kepada usaha melindungi murid-murid sekolah daripada ancaman dan buli di alam maya,” katanya.

Nurul Izzah berkata politik boleh menjadi medan pertarungan idea dan pandangan namun keselamatan anak-anak serta keluarga tidak seharusnya menjadi taruhan atau alat tekanan.

“Jika hari ini kita tidak mengambil tindakan tegas untuk mencegah ancaman dan intimidasi, negara kita bakal kehilangan segala harapan.

“Ancaman seperti ini mesti ditangani dengan usaha yang tegas dan menyeluruh daripada pihak berkuasa agar ia tidak memusnahkan negara,” katanya.

Beliau turut menzahirkan rasa simpati kepada keluarga Rafizi dan mendoakan kesembuhan buat anak dan isteri ahli politik berkenaan serta mendoakan keluarganya dikurniakan kesembuhan selain diberi kekuatan serta perlindungan.

Semalam, Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar memaklumkan polis memperketat kawalan keselamatan terhadap Rafizi dan keluarga berikutan serangan itu selain mengambil keterangan enam individu bagi membantu siasatan.

Rafizi sebelum ini mengesahkan anaknya menjadi mangsa serangan dua lelaki berpakaian hitam dan bertopi keledar menaiki sebuah motosikal yang secara tiba-tiba menarik mangsa sebelum mencucuknya dengan jarum suntikan - BERNAMA