KUALA LUMPUR: Polis menggunakan dron untuk merakam gambar motosikal yang melakukan kesalahan tidak menggunakan laluan sepatutnya, dalam Operasi Penguatkuasaan Undang-Undang terhadap penunggang kenderaan itu di Lebuhraya Persekutuan, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shahrulnizam Ja’afar berkata bantuan dron bagi operasi yang bermula pada 11 pagi tadi diperoleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya melalui hasil kerjasama dengan Pasukan Gerakan Udara (PGU) Bukit Aman.
“Setakat setengah jam yang kita buat (operasi) di sini, kita dah dapat 32 saman termasuk dengan yang kita tahan di sini dan saman-saman yang kita rekodkan melalui dron ini akan dibuat laporan trafik terlebih dahulu untuk kita bekalkan laporan lengkap.
“Walaupun pesalah ini fikir sudah melarikan diri pada hari ini, sebenarnya sudah ada dron yang mencatat nombor pendaftaran mereka dan saman akan dikirimkan kepada pesalah di bawah POL 170A untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang media operasi itu.
Operasi berkenaan turut disertai Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor Supt Edward Kondokor.
Mengulas mengenai sikap sesetengah penunggang motosikal yang bertindak sebagai “samseng jalanan”, Shahrulnizam berkata penunggang perlu mengawal perasaan dan harus sedar kesalahan yang dilakukan apabila berada di laluan utama kerana mereka tidak berada di laluan yang sepatutnya.
“Sekiranya mereka menggunakan jalan utama, mereka juga berisiko tinggi untuk mendapat kecederaan akibat daripada kemalangan, jadi operasi motosikal pada hari ini bertujuan meminimumkan kes kemalangan.
“Operasi secara bersasar ini menumpukan penguatkuasaan kepada pengguna motosikal memandangkan 70 peratus kematian adalah daripada penunggang motosikal,” katanya.
Beliau berkata jumlah kemalangan melibatkan penunggang motosikal di Lebuhraya Persekutuan di bawah pentadbiran IPD Petaling Jaya menunjukkan peningkatan dengan merekodkan 204 kes pada tahun ini, iaitu meningkat sebanyak 35.1 peratus bersamaan 53 kes berbanding tahun sebelum ini sebanyak 151 kes.
“Bagi daerah ini, sebanyak 52 kematian direkodkan pada tahun lepas manakala bagi tahun ini, terdapat 34 kematian dicatatkan setakat Mei sahaja.
“Jadi, kita ambil inisiatif ini supaya pengguna-pengguna jalan raya, khususnya penunggang motosikal sedar bahawa menjadi suatu kesalahan dan membawa mudarat apabila menggunakan jalan utama sebagai laluan mereka sedangkan laluan motosikal telah disediakan,” katanya.
Beliau juga menasihatkan kepada syarikat konsensi lebuh raya untuk memastikan laluan motosikal selamat dilalui oleh para penunggang dari segi pencahayaan dan keadaan jalan raya itu sendiri bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.