MELAKA: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka menahan 144 individu termasuk pengedar dan penagih dadah menerusi Op Sarang yang dijalankan di negeri ini pada 27 Mac hingga semalam.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata kesemua yang ditahan hasil pemeriksaan terhadap 244 individu menerusi 142 serbuan.
“Bagi pengedaran dadah, empat individu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 manakala tiga lagi Seksyen 39A (1) ADB 1952.
“Sebanyak 27 individu pula disiasat di bawah Seksyen 12 (2) ADB 1952, Seksyen 6 ADB 1952 (dua individu) dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 (10 individu) kerana disyaki memiliki dadah,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata turut ditahan 12 individu dikehendaki polis atas pelbagai kesalahan dadah dan 86 individu di bawah Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952 kerana saringan air kencing positif terhadap dadah.
Dzulkhairi berkata pelbagai dadah dirampas dalam operasi berkenaan termasuk heroin seberat 39.32gram (g), syabu (9.13g), ganja (3.70g), air ketum (31.40 liter), daun ketum (3 kilogram) dan cecair ketamin (1.03 liter) yang dianggar bernilai RM3,145.