KUALA TERENGGANU: Operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) seorang warga Turkiye yang hilang di perairan Pulau Yu masih belum menemui sebarang petunjuk selepas memasuki hari keenam.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kapten Maritim Hamiludin Che Awang, berkata usaha mengesan Eser Demirkol, 52, belum menunjukkan perkembangan positif walaupun pelbagai kaedah pencarian telah digunakan.
“Operasi hari keenam bermula 7 pagi dan dihentikan seketika pada 7 petang. Ia akan disambung semula esok pada 7.30 pagi. Lokasi pencarian tertumpu di kawasan kapal layar karam dan sekitar tempat mangsa kedua, Ahmet Volkan Ata, ditemui,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Cuaca buruk dengan angin kencang dan laut bergelora menyukarkan operasi penyelamatan. Pasukan selam menggunakan Remotely Operated Vehicle (ROV) tetapi tiada penemuan dilaporkan sehingga 6.50 petang.
Dua mangsa lain, Volkan Ata dan Ates Demiroren, 42, telah dibenarkan keluar dari hospital setelah keadaan kesihatan mereka stabil.
Maritim Malaysia meminta orang ramai melaporkan sebarang maklumat atau objek mencurigakan di sekitar kawasan kejadian kepada Pusat Operasi Maritim Terengganu melalui talian 09-6224357.
Tiga lelaki warga Turkiye itu merupakan peserta pelayaran merancang jelajah dari Malaysia ke negara asal mereka sebelum kapal layar Daisy karam akibat ribut di perairan Pulau Yu pada Selasa lepas. - Bernama