KUCHING: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak mencatatkan 10 kejayaan sepanjang pelaksanaan Ops Taring dari 21 Julai hingga 1 Ogos di beberapa lokasi di negeri ini, melibatkan rampasan barangan keseluruhan bernilai RM3.6 juta.
Komander Briged Sarawak SAC Dr Che Ghazali Che Awang berkata rampasan terbesar direkodkan di Sibu pada 21 Julai membabitkan 783,040 batang rokok dan 225 liter minuman keras yang belum lulus cukai bernilai RM1.4 juta, dengan seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun ditahan.
Beliau berkata pada 1 Ogos, serbuan di Bau pula membawa kepada penahanan empat lelaki tempatan berusia antara 24 hingga 54 tahun kerana disyaki cuba membawa barangan tanpa permit sah ke sempadan Malaysia-Indonesia.
“Hasil pemeriksaan menemui 35,000 kilogram (kg) bawang Bombay dan 1,400 kg bawang putih. PGA turut merampas empat lori dengan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM1.13 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata dalam serbuan berasingan di Lundu pada 24 Julai, dua lelaki tempatan masing-masing berusia 38 dan 47 tahun ditahan kerana membawa 10,000 kg gula import tanpa permit sah melalui jalan tidak diwartakan, dengan nilai rampasan dianggarkan RM350,000 termasuk dua lori.
Che Ghazali berkata pada Khamis lepas, dua lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing ditahan di Sematan kerana menyimpan 15,432 liter minyak diesel bersubsidi tanpa permit dan turut dirampas satu tangki simpanan, satu unit meter minyak serta sebuah lori yang keseluruhan bernilai RM291,553.
“Pada 28 Julai di Lundu, PGA turut menahan seorang lelaki tempatan dan merampas 380 kotak produk makanan sejuk beku serta sebuah lori yang digunakan untuk membawa barangan tanpa permit itu melalui jalan tidak diwartakan dengan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM222,960.
“Ini diikuti penahanan keatas seorang lelaki warga emas berusia 67 tahun di Sri Aman pada 31 Julai, kerana memiliki pelbagai barang kawalan seperti beras, minyak masak dan gula tanpa permit sah. Nilai keseluruhan rampasan termasuk sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux ialah RM121,795,” katanya.
Beliau berkata pada hari sama di Debak, seorang lagi warga emas berusia 64 tahun turut ditahan setelah pemeriksaan ke atas Toyota Hilux yang dipandunya menemui 480 liter petrol, 100 liter diesel serta 21 jeriken minyak pelbagai saiz, dengan nilai rampasan mencecah RM111,815.
Pada 21 Julai pula, ketika rondaan di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, seorang lelaki melarikan diri dan meninggalkan kereta Perodua Myvi yang dipandunya dan pemeriksaan menemui 174.37 gram serbuk disyaki ekstasi dan dua biji pil ekstasi, dengan nilai rampasan termasuk kenderaan berjumlah RM34,466
Che Ghazali berkata dalam kejayaan kesembilan, PGA menahan seorang lelaki tempatan di Serian pada 29 Julai, yang memiliki tiga peket plastik dipercayai mengandungi dadah jenis methamphetamine. Turut dirampas wang tunai RM199.20 dan sebuah Proton Wira bernombor pendaftaran palsu, menjadikan nilai rampasan RM25,199
“Manakala pada 23 Julai, semasa rondaan di kawasan semak berhampiran sempadan Malaysia-Indonesia di Bau, PGA menemui sebuah motosikal Yamaha FZ105 yang dilaporkan hilang dengan nilai RM5,000,” katanya - BERNAMA