• 2025-09-22 08:14 AM

ISTANBUL: Palestin menyambut baik pengiktirafan rasmi kenegaraan oleh United Kingdom, Kanada dan Australia menjelang sesi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Kementerian Luar Palestin merakamkan penghargaan kepada ketiga-tiga negara atas keputusan berani mereka untuk secara rasmi mengiktiraf Negara Palestin.

Kementerian itu menyifatkan pengiktirafan itu sebagai pengiktirafan terhadap hak yang adil dan sah rakyat Palestin.

Langkah ini juga dilihat sebagai usaha untuk melindungi penyelesaian dua negara daripada jenayah berterusan yang dilakukan oleh Israel.

Perdana Menteri UK Keir Starmer mengumumkan negaranya kini menyertai lebih daripada 150 negara lain yang secara rasmi mengiktiraf Negara Palestin.

Beliau menegaskan detik untuk mengiktiraf kenegaraan Palestin telah pun tiba dalam menghadapi kengerian yang semakin memuncak di Timur Tengah.

Perdana Menteri Kanada Mark Carney turut mengumumkan pengiktirafan rasmi kenegaraan Palestin serta berikrar bekerjasama membina keamanan.

Perdana Menteri Australia Anthony Albanese berkongsi kenyataan bahawa Komanwel Australia secara rasmi mengiktiraf Negara Palestin sebagai negara merdeka dan berdaulat.

Beliau berkata langkah itu menunjukkan pengiktirafan terhadap aspirasi rakyat Palestin yang sah untuk memiliki negara sendiri.

Kementerian Luar Palestin menyatakan keputusan itu memberi dorongan tambahan kepada usaha serantau dan antarabangsa yang dipimpin Arab Saudi dan Perancis.

Mereka menggesa negara yang belum mengiktiraf Negara Palestin khususnya Amerika Syarikat agar mengambil inisiatif untuk berbuat demikian.

Seruan dibuat untuk negara berkenaan berdiri di sisi yang benar dalam sejarah bagi menamatkan kezaliman terhadap rakyat Palestin.

Tindakan ini diharap dapat membolehkan rakyat Palestin menikmati hak menentukan nasib sendiri seperti rakyat negara lain. – Bernama-Anadolu/WAFA