Your Title

PUTRAJAYA: Bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony hari ini kekal dipenjara tiga tahun serta didenda RM50,000 kerana memalsukan dokumen berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS), 11 tahun lepas.

Ini selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin, menolak rayuan akhir Peter, 54, terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Mei 2022.

Mahkamah memerintahkan Ahli Dewan Undangan Negeri Melalap itu, menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

Pada 19 April 2023, Peter memfailkan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 atau penjara 15 bulan, yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 26 Mei 2022.

Sebelum ini, Peter gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 April 2023 selepas mahkamah itu turut mengekalkan sabitan dan hukuman berkenaan.

Peter telah membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Peter sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd didakwa memalsukan surat Pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan bagi tujuan menipu.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014 mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Hakim Mohamed Zaini ketika membacakan penghakiman berkata mahkamah rayuan tidak seharusnya mengubah penemuan fakta oleh mahkamah rendah, kecuali jika penemuan tersebut terbukti salah.

“Ini amat penting terutamanya apabila kesimpulan yang dibuat bergantung secara langsung kepada kredibiliti saksi serta tanggapan yang dibentuk oleh mahkamah, yang secara langsung memerhati dan menilai kejujuran serta ketepatan mereka.

“Kami yakin bahawa Mahkamah Sesyen telah menjalankan penilaian kehakiman yang menyeluruh terhadap bukti yang dikemukakan dan kami tidak menemui sebarang kesilapan yang membolehkan campur tangan oleh mahkamah rayuan. Oleh itu, kami berpendapat bahawa sabitan terhadap tertuduh adalah selamat. Kami menolak rayuan perayu dan mengekalkan sabitan serta hukuman yang telah dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen,” katanya.

Hakim Mohamed Zaini berkata mahkamah rayuan juga bersetuju dengan dapatan Mahkamah Sesyen bahawa perayu telah memalsukan surat dengan niat untuk melakukan penipuan dan memperdaya saksi pendakwaan ketiga (SP3) Mohd Shukur Mohd Din, SP8 (bekas Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMS Profesor Dr Shariff Abdul Kadir S. Omang) serta SP9 (bekas Pendaftar UMS Datuk Abdullah Mohd Said) untuk mempercayai bahawa surat tersebut berkaitan dengan projek Perkongsian Pintar.

“Selain itu, mahkamah juga mendapati bahawa perayu menggunakan surat tersebut untuk mengelirukan SP12 (Datuk Seri Najib Tun Razak) supaya percaya bahawa beliau mendapat sokongan UMS bagi mendapatkan kontrak M&E (Sistem Mekanikal dan Elektrikal) melalui rundingan terus selama lima tahun, walaupun kontrak tersebut sebenarnya telah diberikan kepada REMT melalui proses tender terbuka.

“Kami juga bersetuju dengan dapatan mahkamah bahawa bukti yang dikemukakan sudah mencukupi untuk menunjukkan bahawa perayu telah memalsukan surat tersebut dengan niat untuk melakukan penipuan, dan tidak perlu dibuktikan bahawa beliau berjaya mencapai matlamat penipuannya,” katanya.

Hakim turut menyatakan bahawa mahkamah bersetuju dengan dapatan Mahkamah Sesyen bahawa perayu sedar bahawa kontrak M&E telah melalui proses tender terbuka, kerana syarikatnya turut serta sebagai pembida.

SP1 (bekas Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr Mohd Harun Abdullah) memberi keterangan bahawa perayu telah menegurnya apabila syarikat mereka tidak dianugerahkan kontrak M&E bagi Fasa 2B. Mahkamah Sesyen telah mempertimbangkan tingkah laku perayu selepas itu, sebagai fakta yang relevan di bawah Seksyen 8 Akta Keterangan 1950,” katanya.

Hakim Mohamed Zaini berkata mahkamah rendah telah menganalisis dengan teliti pembelaan perayu, khususnya keterangan saksi pembelaan kedua (SD2) (pembantu peribadi Peter Imy Christopher) dan SD3 (pengurus forensik digital di Siaga Informatics Sdn Bhd Nurul Aiman Azmail).

“SD2 mendakwa bahawa SP3 (Mohd Shukur) tidak pernah mengunjungi pejabat perayu atau bertemu dengannya, serta komputer di pejabat hanya boleh diakses dengan kata laluan. Namun, mahkamah dengan betul menolak pembelaan ini sebagai sekadar penafian dan alasan yang dibuat kemudian, memandangkan isu-isu ini tidak dibangkitkan semasa siasatan atau dikemukakan kepada saksi pendakwaan, khususnya SP3 dan pegawai penyiasat.

“Mahkamah Sesyen tidak melakukan kesilapan dalam membuat kesimpulan bahawa kegagalan perayu mengemukakan pembelaannya pada peluang terawal, menunjukkan bahawa ia hanyalah alasan yang dibuat kemudian. Malah, ini lebih mengukuhkan kredibiliti saksi-saksi pendakwaan,” katanya.

Hakim menyatakan bahawa dakwaan perayu bahawa beliau tidak mengunjungi pejabat Allahyarham Datuk Azlin Alias (bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib) pada 13 Jun 2014, adalah satu penafian semata-mata.

“Mahkamah Sesyen mendapati dakwaan ini tidak meyakinkan, kerana keterangan SP3 dan SP8 menunjukkan bahawa perayu telah mengunjungi pejabat tersebut. Ini turut disokong dengan adanya cop rasmi pejabat Allahyarham Azlin pada surat bertarikh 13 Jun 2014,” katanya.

Mahkamah juga berpihak kepada keterangan SP8, yang menyatakan bahawa beliau menemani perayu memasuki pejabat untuk bertemu secara bersendirian dengan Allahyarham Azlin sambil membawa surat berkenaan. Mahkamah mengakui bahawa perayu mengenali Allahyarham Azlin secara peribadi dan mempunyai akses kepada SP12 (Najib).

“Selain itu, perayu mengakui bahawa SP3, SP8, dan SP9 cuba menggunakan hubungannya yang rapat dengan Alahyarham Azlin untuk mendapatkan sokongan bagi projek Perkongsian Pintar. Dengan mengambil kira faktor-faktor ini, kami berpendapat bahawa kesimpulan yang dibuat Mahkamah Sesyen adalah kukuh,” katanya.

Hakim Mohamed Zaini berkata mahkamah mendapati keterangan Dr Shariff boleh dipercayai dan beliau mendakwa telah menandatangani surat tersebut tanpa menyemak kandungannya, kerana bergantung kepada SP3 yang mana tidak dianggap sebagai sesuatu yang mustahil.

“Tambahan pula, mahkamah percaya bahawa tiada motif bagi SP8 untuk bertindak secara tidak jujur, memandangkan usianya serta kedudukannya di UMS, dan adalah tidak munasabah beliau akan mempertaruhkan statusnya. Oleh itu, kami tidak melihat sebarang alasan untuk mengganggu penemuan ini,” katanya.

Berkaitan hukuman yang dikenakan ke atas perayu, hakim berkata pihak responden (Timbalan Pendakwa Raya) telah meminta mahkamah untuk meningkatkan tempoh hukuman penjara serta jumlah denda, manakala perayu pula memohon hukuman dikurangkan.

“Sesuatu hukuman daripada mahkamah rendah hanya boleh diubah jika ia didapati terlalu berat atau tidak mencukupi. Kami percaya bahawa Mahkamah Sesyen telah mempertimbangkan semua faktor yang relevan sebelum membuat keputusannya dan tidak melihat sebarang sebab untuk mengubahnya,” katanya.

Peguam Datuk Nicholas Kow Eng Chuan mewakili Peter, manakala Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Haresh Prakash Somiah, mewakili pihak pendakwaan.

Peter kemudiannya dibawa ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman.