SHAH ALAM: Polis menahan sepasang kekasih di sekitar Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor selepas dipercayai mencuri barangan kemas bernilai RM111,743.55 di sebuah kedai emas di sekitar bandar raya ini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata masing-masing yang berusia 25 dan 23 tahun ditahan pada 3.20 petang, Jumaat lepas dan polis turut berjaya menemukan semula barangan kemas yang disyaki dicuri itu.

“Kedua-duanya yang tidak bekerja didapati tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. Mereka juga negatif terhadap dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pasangan terbabit kini direman hingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Media pada 28 April lepas melaporkan polis sedang mengesan dua warga tempatan dipercayai mencuri barang kemas bernilai RM111,743.55 di sebuah kedai emas di sekitar bandar raya ini.

Sebelum itu tular rakaman kamera litar tertutup berdurasi 2 minit 26 saat menerusi laman TikTok memaparkan kejadian seorang lelaki dan wanita mencuri rantai tangan dan cincin emas di sebuah kedai emas.