• 2025-07-06 10:04 AM

ROM: Paus Leo XIV telah melantik Ketua Biskop Perancis Thibault Verny sebagai pesuruhjaya baharu Vatican untuk menangani isu perlindungan kanak-kanak, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Verny, 59, menggantikan Kardinal Seán O’Malley dari Amerika Syarikat (AS) yang telah melebihi had umur 80 tahun. Sebagai Ketua Suruhanjaya Kepausan bagi Perlindungan Mereka di Bawah Umur, Verny bertanggungjawab menangani skandal yang telah menggoncang Gereja Katolik di banyak negara.

Verny, yang mengetuai kawasan Ketua Biskop Alpine di Chambéry , tenggara Perancis, menyifatkan tugas ini sebagai “tugas yang serius dan suci”.

“(Gereja mesti) lebih berwaspada, bertanggungjawab dan berbelas kasihan dalam misinya untuk melindungi golongan paling lemah dalam kalangan kita,” kata Verny.

Verny sebelum ini merupakan pengerusi badan yang ditubuhkan oleh Persidangan Uskup Perancis untuk menangani dan mencegah penderaan dalam Gereja Katolik Perancis.

Paus baharu, yang berasal dari Amerika Syarikat, sebelum ini menyeru agar wujud “budaya pencegahan” dalam Gereja yang tidak membenarkan sebarang bentuk penganiayaan berlaku.

Susulan pelbagai skandal membabitkan kes penderaan dan usaha menutup kes, Paus Francis yang telah meninggal dunia menubuhkan suruhanjaya itu pada 2014.

Sejak itu, suruhanjaya berkenaan diketuai oleh Kardinal O’Malley, bekas Ketua Biskop di bandar Boston, timur laut AS. O’Malley, yang kini berusia 81 tahun, telah memegang jawatan itu melebihi umur persaraan tradisional bagi para uskup.