• 2025-08-14 01:01 PM

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan perhimpunan yang dijadualkan di Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini dibatalkan.

Tindakan ini diambil bagi mengelakkan pertembungan tidak sihat antara kumpulan bertentangan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata langkah itu juga bagi memastikan keselamatan masyarakat setempat terpelihara.

“PDRM memandang serius setiap isu yang berpotensi menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan PDRM mengambil maklum berhubung perhimpunan yang akan diadakan di Bertam, Kepala Batas pada 14 Ogos 2025.

Mohd Khalid berkata PDRM telah menjalankan siasatan berhubung isu pengibaran Jalur Gemilang secara terbalik yang tular di media sosial.

Sebanyak 38 laporan diterima di seluruh negara, dengan 17 daripadanya di Pulau Pinang dan 21 lagi di negeri lain.

“Siasatan turut merangkumi tindakan terhadap individu yang merakam dan menyebarkan rakaman itu di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Kertas siasatan telah dikemukakan kepada Pejabat Pendakwa Raya Pulau Pinang pada Isnin lepas.

Mohd Khalid menegaskan PDRM komited melaksanakan siasatan secara telus dan berintegriti.

“Orang ramai dinasihati supaya tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan,” katanya.

Beliau menggesa orang ramai menyalurkan maklumat sahih kepada pihak polis - Bernama