KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan membuat siasatan dan kajian mengenai isu kecederaan dan kematian tahanan di dalam lokap semasa proses siasatan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata prosedur dan perlindungan yang bersesuaian perlu diwujudkan bagi mengelakkan kejadian kecederaan dan kematian tahanan dalam lokap berulang.

Beliau berkata Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain telah menyatakan keterbukaan PDRM untuk bekerjasama dengan Suhakam berhubung perkara itu.

“Yang menyiasat itu polis, yang menjatuhkan hukuman itu hakim. Sebelum dijatuhkan hukum, mereka (suspek) jangan dihukum terlebih dahulu,” katanya semasa berucap pada sambutan Hari Suhakam ke-25, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan Pengerusi Suhakam Datuk Seri Mohd Hishamudin Md Yunus.

Mengimbau pengalamannya dipukul semasa dalam tahanan polis pada tahun 1998, Anwar berkata Mohd Hishamudin merupakan antara individu yang tampil mempertahankannya.

“Kalau orang bicara tentang ada kebimbangan tentang penderaan dan kematian dalam lokap, tak perlu yakinkan saya, kerana saya tahu apa yang dirasakan, dan kita rasa bagaikan tidak terdaya lagi apabila diserang hingga hampir mati semasa dalam tahanan,” katanya.

Anwar turut menyatakan kesediaannya untuk menyertai lawatan Suhakam ke lokap polis kerana beliau percaya terdapat keperluan untuk segera menyelesaikan isu berkenaan.

“Kita perlu menyokong semua usaha wajar bagi melindungi suspek atau tahanan di lokap dan saya merasa gembira untuk menyatakan di sini bahawa Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara menyokong idea ini.

“Bagaimanapun kebimbangan saya, dan juga kebimbangan mereka ialah - tidak semua kecederaan atau kematian di lokap disebabkan penyalahgunaan kuasa oleh pihak polis, itu sebabnya mengapa kita perlukan perlindungan dan prosedur yang teratur,” katanya.

Beliau berkata sebelum ini pelbagai langkah telah dilaksanakan bagi memastikan hak tahanan terpelihara, termasuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dan hukuman mati mandatori, walaupun ia menimbulkan sedikit sebanyak kegusaran dalam masyarakat.