• 2025-07-02 10:41 AM

KUALA LUMPUR: Gandingan beregu wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah menunjukkan peningkatan ketara dari segi kematangan permainan, terutama ketika berdepan pasangan handalan China yang sebelum ini sering menjadi penghalang utama mereka.

Jurulatih beregu wanita negara Rosman Razak berkata pasangan ranking ketiga dunia itu kini lebih bersedia dari segi mental dan tidak mudah mengalah apabila menghadapi situasi sukar dalam perlawanan.

“Kalau dulu bila masuk gelanggang dan tak jadi, terus ‘lost’. Sekarang tidak. Mereka cuba lawan. Itu yang saya nampak paling ketara dari segi kematangan dan sikap untuk terus mencuba,” katanya selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara.

Rosman menekankan tempoh rehat enam minggu sebelum kejohanan Terbuka Jepun dan Terbuka China 2025 sebagai peluang terbaik untuk memperbaiki aspek fizikal dan pemulihan kecederaan, terutamanya bagi Pearly-Thinaah.

“Ini masa paling sesuai untuk memperbaik semua benda. Pemulihan, fizikal, mencegah kecederaan, semuanya kita buat sekarang. Tapi dalam masa sama, kita tak tahu sama ada momentum mereka boleh kekal atau perlukan masa untuk dapat semula rentak,” jelasnya.

Selain itu, Rosman mengesahkan dua beregu wanita negara layak ke Kejohanan Dunia 2025 di Paris, iaitu Pearly-Thinaah dan Teoh Mei Xing-Go Pei Kee.

Bagi slot beregu kedua negara, Rosman menegaskan semua pemain mempunyai peluang sama dan perlu bersaing secara adil.

“Saya tak nak cakap pasal individu. Tapi pada masa ini saya nampak permainan Ong Xin Yee-Carmen Ting lebih baik berbanding junior yang lain. Tapi pemain lain tetap berpeluang untuk merebut tempat,” katanya.

Rosman turut menyebut pasangan muda Low Zi Yu-Dania Sofea Zaidi sebagai antara pelapis berpotensi, walaupun masih memerlukan lebih banyak pendedahan.

“Sofea baru berusia 18 tahun, Zi Yu pula 15 tahun. Saya fikir pemain muda ini mempunyai potensi. Tapi perlu bagi masa dan pendedahan. Jangan bandingkan dengan Pearly dan Thinaah,” ujarnya.