PETALING JAYA: Pihak pembelaan dalam kes bunuh Zayn Rayyan Abdul Matiin memohon untuk meminda nama kanak-kanak itu dalam kertas pertuduhan yang dikemukakan kepada ibu bapanya hari ini.

Peguam Fahmi Abd Moin yang mewakili Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Sesyen Dr Syahliza Warnoh bahawa nama kanak-kanak itu telah dibetulkan daripada Zayn Rayyan Abdul Matiin kepada Zayn Rayyan bin Zaim Ikhwan.

“Merujuk kepada pertuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya pada tarikh lepas (13 Jun), nama kanak-kanak seperti yang dicatatkan ialah Zayn Rayyan Abdul Matiin, namun pihak kami telah menerima dokumen cabutan daftar kelahiran Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Selangor melalui tertuduh kedua (Ismanira) yang membetulkan maklumat dalam daftar kelahiran Zayn Rayyan.

“Pada 4 Julai lepas, pembetulan maklumat nama Zayn Rayyan telah dibuat dan ditukar kepada Zayn Rayyan bin Zaim Ikhwan. Saya ingin merekodkan kami ingin membuat permohonan untuk meminda nama Zayn Rayyan dalam pertuduhan,“ katanya yang turut mengemukakan salinan sijil kelahiran baharu kepada mahkamah pada sebutan kes itu hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nurul Qistini Qamarul Abrar mengesahkan pihaknya telah menerima salinan sijil kelahiran mangsa dan akan meneliti dokumen terbabit.

“Memandangkan dokumen ini baru diserahkan pagi ini, pendakwaan akan memaklumkan kepada pihak-pihak sekiranya terdapat pindaan dalam pertuduhan pada tarikh akan datang,“ katanya yang mengendalikan kes bersama TPR Anis Hakimah Ibrahim.

Hakim Syahliza kemudian mengarahkan pihak pendakwaan mengesahkan perkara itu terlebih dahulu dengan JPN dan keputusan berhubung pindaan akan dimaklumkan semasa sebutan kes pada 18 Sept ini.

Turut hadir pada prosiding hari ini peguam pemerhati daripada Majlis Peguam Vivek Sukumaran dan Jason Wee.

Sementara itu, Fahmi turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa peguam Mahmud Abdul Jumaat tidak lagi mewakili Ismanira dalam kes ini selepas wanita itu menghantar surat penamatan perkhidmatan guaman yang mewakilinya.

“Saya difahamkan Ismanira telah menghantar surat berhubung penamatan perkhidmatan itu kepada Tetuan Emir Mahmud & Co pada 18 Jun lepas. Sehubungan dengan itu, pihak kami akan mewakili pasangan suami isteri itu,“ katanya.

Pada 13 Jun, Zaim Ikhwan dan Ismanira, kedua-duanya berumur 29 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas satu pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autisme berusia enam tahun itu dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya pada Disember 2023 di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini, pada 12 tengah hari, 5 Dis hingga 9.55 malam, 6 Dis.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 6 Dis tahun lepas, mayat Zayn Rayyan ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai dekat sini selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.