BATU PAHAT: Pejabat Perdana Menteri akan terus mengenal pasti pelajar yang terdiri daripada golongan asnaf di setiap Parlimen dan menyalurkan bantuan melalui Program Jalinan Kasih untuk meringankan beban mereka.

Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Azman Abidin berkata bagaimanapun, setiap Ahli Parlimen perlu mengemukakan permohonan sekiranya ada golongan asnaf yang masih memerlukan bantuan.

Beliau berkata setakat ini, bantuan seumpama itu telah dilaksanakan di tiga kawasan Parlimen iaitu Batu Pahat (Johor), Bandar Tun Razak (Kuala Lumpur) dan Masjid Tanah (Melaka).

“Parlimen Batu Pahat merupakan kawasan pertama di Johor yang menerima bantuan khas daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen kawasan berkenaan Onn Abu Bakar telah mengemukakan permohonan sebelum ini,“ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Program Jalinan Kasih di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permata Jaya, Rengit dekat sini hari ini.

Pada majlis itu, sebanyak 200 pelajar termasuk 15 pelajar pendidikan khas dalam Parlimen Batu Pahat menerima sumbangan wang tunai RM200 setiap seorang.

Sementara itu, penerima Siti Nuralya Alysa Norhanazid, 16, dan Muaz Syakirin Mohamed Hairul Helmy, 16, berkata mereka akan menggunakan wang sumbangan itu sebaik mungkin untuk membeli kelengkapan pembelajaran seperti alat tulis dan buku rujukan.