KUALA LUMPUR: Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) berjaya mencatatkan pelaburan direalisasi berjumlah RM48.25 bilion bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, peningkatan sebanyak 60 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata perkara tersebut dimaklumkan semasa beliau mempengerusikan Mesyuarat Ke-32 Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) hari ini.

“NCER juga telah menyaksikan sebanyak 10,529 peluang pekerjaan baharu melalui pelaburan direalisasikan ini,” kata Perdana Menteri menerusi catatan di laman X hari ini.

Beliau berkata mesyuarat turut membincangkan inisiatif-inisiatif dalam menyokong ekosistem pelaburan di NCER, selari dengan Pelan Pembangunan Strategik NCER 2024-2030, antaranya pembangunan pusat inovasi teknologi, hab agro makanan dan peralihan tenaga.

“Perancangan ini penting dalam usaha Kerajaan MADANI memastikan NCER berterusan dapat menarik pelaburan terkait industri strategik yang berimpak dan bernilai tinggi,” kata Anwar.