Your Title

KUALA LUMPUR: Kementerian Digital melihat komitmen pelaburan terbaharu berjumlah AS$2.2 bilion yang diumumkan oleh Microsoft wajar menjadi aspirasi dan penanda aras kepada industri lain dalam memacu inovasi negara.

Ini seterusnya dapat menggalakkan pembangunan bakat digital dan memacu perjalanan Malaysia ke arah menjadi hab digital global, kata kementerian itu dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat bagi menjawab pertanyaan Dr. Richard Rapu @ Aman Anak Begri (GPS-Betong).

Richard meminta Kementerian Digital menyatakan bagaimana ia melihat komitmen pelaburan terbaharu yang diumumkan oleh Microsoft terhadap potensi digital Malaysia.

Kementerian itu menjelaskan pelaburan berkenaan membolehkan Microsoft membangunkan infrastruktur awan dan kecerdasan buatan (AI) di dalam negara.

Microsoft juga merancang mengukuhkan kerjasama dengan kerajaan untuk menubuhkan Pusat AI Negara, meningkatkan keupayaan keselamatan siber negara, melatih lebih 300,000 pekerja dalam sektor digital menjelang 2025 dan menyokong sasaran Malaysia untuk melahirkan sejuta bakat digital menjelang 2030.

Syarikat teknologi komputer multinasional itu juga menyasarkan untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan baharu yang berkemahiran tinggi dalam bidang seperti AI, pengkomputeran awan dan keselamatan siber serta menyokong pertumbuhan komuniti pencipta perisian Malaysia.

Pelaburan berkenaan juga akan membantu lebih 200 syarikat tempatan mengintegrasikan AI ke dalam operasi mereka menjelang 2025 sejajar dengan usaha meningkatkan kecekapan dan inovasi.