KUALA LUMPUR: Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2024 anjuran Human Resource Development Corporation telah melepasi sasarannya dengan berjaya mendaftarkan kira-kira 330,000 rakyat Malaysia dalam 65,000 kursus latihan percuma setakat Khamis, hari keempat program tersebut.

Ketika mengumumkan perkara ini, Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata kementerian pada mulanya menyasarkan 200,000 peserta dalam 25,000 kursus.

“Ini membuktikan rakyat Malaysia dahagakan latihan kemahiran dan latihan-latihan yang kita tawarkan dapat menarik penyertaan orang awam,” katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian selepas menyertai sesi panel bertajuk ‘Integrasi Strategik Perdagangan, Pengurusan Bakat dan Dasar Industri: Memacu Pertumbuhan Ekonomi Menerusi Pembangunan Modal Insan’ bagi program ‘Menteri-Menteri yang Memimpin: Mewujudkan Ekonomi Dipacu Bakat - Dasar dan Amalan Kerajaan’.

NTW 2024, yang bermula pada 24 Jun, akan berlangsung sehingga Ahad ini.

Pada sesi panel itu, Sim berkata kementerian bersama 12 kementerian lain yang mempunyai pegangan dalam sektor pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET), akan menggandakan usaha untuk melahirkan tenaga kerja dengan kemahiran yang sesuai dan mencukupi bagi memastikan dasar ekonomi negara dapat dicapai.

Beliau berkata ini bertujuan untuk menangani cabaran kekurangan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang dihadapi negara seperti jurutera pada masa negara mampu menjadi hab untuk pelabur asing dan tempatan melebarkan sayap operasi masing-masing dalam bidang teknologi tinggi.

Mengenai perkembangan berkaitan, Sim berkata Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji Negara telah selesai menjalankan kajian semula Perintah Gaji Minimum 2022 dan ia akan dibentangkan kepada Kabinet tidak lama lagi.

Kali terakhir kerajaan menyemak semula gaji minimum pada Mei 2022, menaikkan gaji bulanan minimum daripada RM1,200 kepada RM1,500.

Kajian semula gaji minimum selaras dengan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732), yang mana ia perlu dikaji sekali dalam dua tahun.