CHUKAI: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengeluarkan 994 saman atas pelbagai kesalahan dalam 10 siri Op Pemandu Warga Asing (PEWA) yang dijalankan di seluruh negeri mulai Januari hingga Mei lalu.

Pengarahnya Mohd Zamri Samion berkata ia melibatkan 270 tangkapan pendatang asing warga Myanmar, Rohingya, Bangladesh, Pakistan, Indonesia, Kemboja, India dan Thailand.

Beliau berkata selain itu, pihaknya turut menyita 235 kenderaan termasuk kereta, lori dan motosikal yang dipercayai dibeli atau disewa daripada sindiket atau penduduk tempatan.

“Antara kesalahan yang sering dilakukan ialah Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada lesen memandu kompeten (CDL), tiada perlindungan insurans dan lain-lain kesalahan teknikal.

“Tahun lepas, kita telah menjalankan 21 siri Op PEWA yang melibatkan 738 saman dan 183 tangkapan,“ katanya pada sidang media di Pejabat JPJ cawangan Kemaman, di sini hari ini.

Mohd Zamri berkata Op PEWA di Kemaman dijalankan berdasarkan aduan daripada pelbagai pihak terutama masyarakat setempat yang bimbang dengan peningkatan bilangan warga asing di daerah tersebut yang membawa kenderaan tanpa memiliki dokumen sah.

Beliau berkata seramai 88 warga asing ditahan dalam operasi bersepadu selama dua hari bermula semalam, melibatkan 76 anggota penguat kuasa daripada JPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia.

“Strategi yang dilakukan untuk mengesan pendatang asing kali ini melibatkan teknik penyamaran anggota.

“Kita bimbang dengan kehadiran mereka yang semakin berani memandu tanpa dokumen sah kerana perkara ini boleh memberi kesan domino dan membahayakan pengguna jalan raya yang lain,“ katanya.