• 2025-06-26 04:54 PM
Pelajar tingkatan lima maut langgar lori di Pasir Puteh

KOTA BHARU: Seorang pelajar Tingkatan Lima maut dalam kemalangan jalan raya selepas motosikal yang ditunggangnya berlanggar dengan sebuah lori di Kilometer 30, Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu (Simpang Tiga Banir Belikong) di Pasir Puteh, semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Supt Zaizul Rizal Zakaria, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu sekitar 3.15 petang.

“Kemalangan berlaku ketika mangsa, Nik Ikram Hakimi Nik Mohd Nuzaihan, 17 tahun, dalam perjalanan dari Selising menuju ke Pasir Puteh. Tiba-tiba sebuah lori yang dipandu lelaki berusia 38 tahun dari arah Pasir Puteh muncul untuk masuk ke simpang Banir Belikong.

“Mangsa tidak sempat mengelak dan melanggar bahagian belakang lori sebelum terjatuh di laluan bertentangan,“ jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ikram Hakimi dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada badan, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi

Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Aliah Syafinah Ani Sarudin, melalui talian 013-6706156 untuk membantu siasatan.