• 2025-07-21 12:55 PM

KUALA LUMPUR: Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030 yang sedang dirangka Pejabat Kecerdasan Buatan (AI) Kebangsaan (NAIO) akan memperkukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab AI serantau, selain menetapkan sasaran peningkatan pencapaian Malaysia dalam penarafan global berkaitan teknologi itu.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata Malaysia kini berada di tangga 26 daripada 36 negara dalam Indeks AI HAI Stanford (2023) dan ke-24 daripada 193 negara dalam Indeks Kesiapsiagaan AI Kerajaan oleh Oxford Insights 2024, dan usaha sedang diperkukuhkan untuk mencapai penarafan lebih tinggi.

“Dari segi pembangunan bakat tempatan, kerajaan telah pun melaksanakan pelbagai inisiatif berskala besar untuk meningkatkan kesiapsiagaan tenaga kerja negara terhadap penggunaan teknologi AI.

“Antara inisiatif yang dilaksanakan adalah program ‘AI for My Future’ bersama Microsoft, yang menyasarkan hampir 800,000 rakyat Malaysia melalui modul interaktif dan latihan bimbingan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Sivakumar Varatharaju Naidu (PH-Batu Gajah) mengenai kesiapsiagaan negara menghadapi gelombang AI, termasuk strategi pemindahan teknologi, pembangunan bakat tempatan dan tahap integrasi AI dalam tadbir urus serta sektor ekonomi utama.

Gobind berkata bagi memperkasakan pelajar dan pendidik, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) turut melaksanakan program seperti ‘MyDigital Maker’ dan ‘Cikgu Juara Digital’ yang menekankan kemahiran digital seperti robotik dan analitik data di peringkat sekolah.

“Kita juga ada inisiatif ‘AI@Work’ bersama Google yang menyasarkan latihan kepada 445,000 penjawat awam melalui penggunaan aplikasi AI seperti Gemini dan Notebook LLM bertujuan untuk meningkatkan kecekapan peningkatan awam,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan turut melihat kepada aspek kerangka perundangan, iaitu meneliti cadangan menggubal akta khusus berkaitan AI bagi mengimbangi keperluan tadbir urus dan ekspresi Malaysia sebagai peneraju serantau - BERNAMA