• 2025-10-06 09:27 PM

KUALA LUMPUR: Pelan Tindakan Kecerdasan Buatan (AI) Kebangsaan 2026-2030 dijangka dilancarkan pada Disember ini, yang memberi tumpuan kepada sektor dan bidang utama seperti tadbir urus, masyarakat dan industri.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata pelan itu yang kini sedang dibangunkan oleh Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) itu merupakan sebahagian daripada usaha kesiapsiagaan negara dalam merealisasikan aspirasi Malaysia untuk menjadi negara berpaksikan AI menjelang 2030.

“Antara bidang utama yang akan diberi perhatian ialah aspek tadbir urus, dan dokumen ini akan memperincikan lagi kerangka kerja Tadbir Urus dan Etika Kecerdasan Buatan (AIGE) yang dilancarkan tahun lepas. Matlamat kami adalah untuk memastikan visi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadikan Malaysia sebagai negara AI menjelang 2030 dapat direalisasikan.

“Justeru, kita perlu meneliti sektor-sektor tertentu dengan lebih mendalam, terutamanya kerajaan, masyarakat dan industri,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri Sidang Kemuncak Inovasi AI UK-ASEAN 2025 di sini hari ini.

Gobind berkata Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030 itu juga akan menghimpunkan cabaran yang dihadapi oleh ketiga-tiga sektor utama berkenaan.

Dalam pada itu, menerusi ucaptamanya beliau berkata Malaysia kini berada di landasan tepat untuk muncul sebagai hab pusat data ASEAN, dengan unjuran menampung dua pertiga kapasiti serantau menjelang 2035, disokong oleh rangkaian 5G bertaraf dunia.

Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa infrastruktur kukuh juga perlu disokong oleh dasar yang berlandaskan kepercayaan.

Dasar Pengkomputeran Awan Negara turut diperkenalkan pada tahun ini bagi memastikan masa depan awan yang selamat, berdaulat dan mampan, katanya, sambil menambah bahawa strategi kepercayaan digital dan keselamatan data juga sedang dirangka bagi memperkukuh daya tahan negara.

“Kita dalam proses menubuhkan Suruhanjaya Data Negara yang akan memantau tadbir urus data di Malaysia, mewujudkan aliran data yang dipercayai serta melindungi hak data rakyat.

“Pendigitalan data sektor awam juga akan diperluas menerusi dasar pendigitalan data sektor kerajaan dan kita juga sedang menubuhkan Bank Data Nasional, repositori dipercayai yang menghimpunkan set data berkualiti tinggi daripada pelbagai kementerian dan sektor,” katanya - Bernama