• 2025-07-19 08:56 PM

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pelantikan lima ketua polis negeri baharu serta pertukaran beberapa pegawai kanan, berkuat kuasa mulai 18 Ogos ini.

Menurut Setiausaha Polis Malaysia Datuk Kamaruzaman Abdullah, antara yang terlibat dalam pertukaran ini ialah Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Azizee Ismail, yang kini dilantik sebagai Ketua Polis Pulau Pinang.

“Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur Datuk Pahlawan Shazeli Datuk Kahar pula dilantik sebagai Ketua Polis Selangor, manakala Timbalan Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Fadil Marsus akan memegang jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur,“ jelas Kamaruzaman dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menyatakan bahawa Timbalan Ketua Polis Kedah DCP Adzli Abu Shah dilantik sebagai Ketua Polis Kedah yang baharu, sementara Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Perjawatan) Bukit Aman DCP Ab Rahaman Arsad akan memegang jawatan Ketua Polis Johor.

Kelima-lima pegawai ini akan memangku pangkat Komisioner Polis (CP).

Selain itu, PDRM turut melaksanakan pertukaran bagi 18 pegawai kanan lain. Antara yang terlibat ialah Ketua Lesen Pasukan Urus Setia KPN (Lesen Senjata Api) Bukit Aman Datuk Md Nazri Zawawi, yang kini dilantik sebagai Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Perjawatan) Bukit Aman dengan memangku pangkat Timbalan Komisioner Polis (DCP).

“Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Bukit Aman Datuk Mohd Sukri Kaman pula dilantik sebagai Timbalan Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman,“ tambah Kamaruzaman.

Pertukaran lain termasuk pelantikan Komander Briged Sarawak, Pasukan Gerakan Am Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam SAC Dr Che Ghazali Che Awang sebagai Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur.

“Timbalan Ketua Polis Perlis SAC Baderulhisham Baharudin pula dilantik sebagai Ketua Polis Kedah, manakala Ketua Cawangan Khas Sarawak SAC Mohd Taufik Toh Abdullah akan memegang jawatan Ketua Penolong Pengarah E6 Cawangan Khas Bukit Aman,“ jelas beliau. - Bernama