• 2025-07-21 10:30 AM

PUTRAJAYA,: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia tidak akan tunduk kepada tekanan yang akan menjejaskan dasar negara termasuk rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) berkaitan tarif.

Beliau berkata walaupun pelaburan dan perdagangan dengan AS adalah tinggi, Malaysia mempunyai ‘redline’ dalam rundingan iaitu dasar bumiputera tidak boleh diganggu meskipun dianggap ‘diskriminatif’ oleh pihak luar.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata peluang kepada syarikat tempatan juga perlu dipertahankan dalam rundingan dengan AS.

Beliau turut menegaskan pendekatan Malaysia lebih teliti dan tegas demi memastikan kepentingan negara terjaga dan hubungan perdagangan dengan negara lain termasuk China dan ASEAN terus diperkukuh sebagai langkah memperluas pasaran.

“Itu ‘redline’ kita dalam rundingan (tarif) dan sebab itu, rundingan kita lebih teliti dan tegas. Kita terus berdagang dengan semua negara tetapi tiada negara yang boleh meletakkan syarat yang menekan kita,” kata beliau pada majlis perjumpaan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini - Bernama