SEREMBAN: Negeri Sembilan bakal memperkenalkan program Pelestarian Sawah Nogori bagi meningkatkan pengeluaran padi sehingga enam tan metrik per hektar setiap musim berbanding purata 3.5 tan metrik per hektar ketika ini.

Pengarah Jabatan Pertanian negeri Hisyam Yacob berkata menerusi program itu pihaknya masih menunggu peruntukan daripada kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi projek naik taraf sistem sawah selain pendedahan teknologi kepada pesawah.

“Kita bantu pesawah ini dari segi penggunaan teknologi, baja berkualiti, pulihkan semula sawah mereka termasuk membangunkan 100 hektar sawah di Kuala Pilah dan juga di Kampung Londah, Gemas. Ketika ini negeri mempunyai kira-kira 800 hektar kawasan sawah,” katanya kepada pemberita di Pusat Pertanian Sendayan, baru-baru ini.

Antara kekangan dihadapi oleh pesawah di negeri ini ialah isu air serta memerlukan peruntukan besar untuk menyediakan sistem pengairan yang baik.

Beliau berkata hasil tuaian padi di negeri ini setakat bulan lepas telah menghasilkan sebanyak 158 tan metrik beras.

Menurut beliau jualan beras hasil tuaian padi di negeri ini mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk di negeri ini terutamanya pada musim perayaan.