Pemandu berdepan detik cemas, kereta terbabas dan terbakar di Gua Musang

GUA MUSANG: Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila kereta yang dipandu terbakar selepas terbabas dan melanggar batu konkrit di bahu jalan di Jalan Sungai Asap B di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata dalam kejadian pada 9.15 malam itu, kereta Honda Accord yang dipandu lelaki berusia 25 tahun berkenaan mengeluarkan percikan api di bahagian enjin dan terbakar.

Beliau berkata pihaknya menerima makluman mengenai kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta dari arah Kampung Limau Kasturi menghala ke Gua Musang.

“Sebaik sampai di lokasi kejadian, pemandu kereta itu hilang kawalan, lalu terbabas dan melanggar batu konkrit di bahu jalan. Akibat perlanggaran itu, pemandu mengalami kecederaan ringan pada bahagian dada dan dibawa ke Hospital Gua Musang untuk menerima rawatan awal.

“Kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.