KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan pemandu lori terlibat dalam kemalangan yang mengorbankan seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun di Persiaran Saujana Impian, Kajang semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata kejadian dipercayai berlaku pada 2 petang semasa pelajar berkenaan dalam perjalanan ke sekolah.

“Motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan menyebabkannya terjatuh ke sebelah kiri di laluan lori berkenaan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala,“ katanya menerusi kenyataan hari ini.

Naazron berkata mayat dibawa ke Hospital Serdang dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau meminta pemandu lori terbabit tampil membantu siasatan manakala orang ramai yang mempunyai maklumat atau rakaman kamera papan pemuka menghubungi Insp Nur Faezah Mohd Zakria menerusi talian 012-3268496 atau balai polis berhampiran.

Sebelum ini, media melaporkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Impian Aqil Mawardi, 17, maut akibat kemalangan itu semasa dalam perjalanan ke sekolah untuk menghadiri kelas tambahan.

Open Two Websites with Image

Clickable Image