TEMERLOH: Seorang lelaki yang terlibat dalam kes kemalangan sehingga menyebabkan kematian dua remaja perempuan, didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar lebih 50 gram dadah jenis methamphetamine, minggu lepas.
Chun Kok Keong, 38, yang beralamat di Kepong, Kuala Lumpur didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan lobi Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh kira-kira 12.30 tengah malam pada 12 Jun lepas.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 15 sebatan sekiranya tidak dihukum mati, jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tan Chiew King kerana kes hukuman mati di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Selain itu, Chun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki dadah jenis heroin dengan anggaran berat 0.85 gram di lokasi dan masa sama mengikut Seksyen 12(2) akta sama, yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-dua sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Adriana Azrin dan Siti Sarah Aqilah Lokman manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Siti Fatimah Mohd Shahril.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM4,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Sept ini untuk laporan kimia.
Di mahkamah sama, Chun turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memandu dengan cara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Nur Erdina Shaffiya Muhammad Nazri dan Aneez Irdiena Sofya Khairul Azman, masing-masing berusia 18 tahun di lampu isyarat Jalan Tengku Ismail, di sini pada 10.50 malam, 11 Jun.
Pendakwaan dikemukakan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000, jika sabit kesalahan.
Adriana menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi dua pertuduhan dan lesen memandu tertuduh digantung, bagaimanapun Siti Fatimah memohon jaminan minimum dikenakan mengambil kira lelaki itu menyara ibu bapanya dan mempunyai pendapatan kira-kira RM3,000 sebulan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM18,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu dengan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes dimuktamadkan serta menetapkan 17 Julai untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.
Bagaimanapun, tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin berikutan terlibat dengan kes kesalahan yang tidak boleh dijamin, iaitu mengedar dadah.
Media sebelum ini melaporkan penunggang motosikal Nur Erdina Shaffiya dan pemboncengnya Aneez Irdiena Sofya meninggal dunia di lokasi kejadian, dipercayai dirempuh sebuah kereta Perodua Bezza ketika berhenti di lampu isyarat merah.