• 2025-10-13 03:56 PM

BUTTERWORTH: Seorang lelaki cedera akibat tersepit selepas kereta dipandunya terbabas dan merempuh dua kenderaan yang diletakkan di bahu jalan sebelum terbalik berhampiran Hospital Seberang Jaya hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang John Sagun Francis berkata sepasukan tujuh anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba Penyelamat Perai digerakkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 8.36 pagi.

John menyatakan kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga BLM dipandu lelaki berusia 38 tahun yang merempuh dua kenderaan lain yang diparkir di bahu jalan.

Kemalangan tersebut hanya melibatkan seorang mangsa manakala pemeriksaan mendapati tiada individu lain di dalam dua lagi kenderaan terbabit.

Mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum bomba tiba dan dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk menerima rawatan. – Bernama