PUTRAJAYA: Perintah pemaparan harga ubat di klinik dan hospital swasta berkuat kuasa 1 Mei depan bukan bertujuan mengawal harga ubat, tetapi untuk memberi rakyat akses maklumat terhadap harga ubat-ubatan yang tersedia.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata pemaparan harga itu membolehkan rakyat membuat perbandingan harga, premis kesihatan serta merancang perbelanjaan berhubung kos yang akan dibayar.
Ditemui pemberita selepas Hari Bersama NGO Kepenggunaan 2025 di sini hari ini, beliau berkata mekanisme pemaparan harga ubat itu adalah sejajar dengan hak universal pengguna iaitu antaranya hak untuk mendapatkan maklumat dan hak untuk memilih.
“Saya ingin ingatkan bahawa apa yang akan kita buat melalui perintah ini adalah sekadar untuk memaparkan harga supaya rakyat mempunyai akses terhadap maklumat harga ubat dan kemudian membuat pilihan hak mendapat maklumat dan hak untuk memilih. Ia (pemaparan harga ubat) bukan dilaksanakan untuk mengawal harga ubat,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan hospital dan klinik swasta akan memaparkan harga ubat-ubatan di fasiliti mereka bermula 1 Mei ini, selaras dengan dasar ketelusan harga dalam perkhidmatan kesihatan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata cadangan itu tidak mendapat bantahan daripada Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), namun masih terdapat kebimbangan pengamal perubatan am (GP) swasta yang meminta kelonggaran dalam pelaksanaannya.
Sementara itu, Armizan berkata Mekanisme Ketelusan Harga Ubat (MKHU) melalui pemaparan harga ubat di semua kemudahan jagaan kesihatan dan farmasi komuniti telah dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) pada 3 Okt 2023.
Ia disusuli dengan pembentangan Memorandum Jemaah Menteri bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada 8 Jan lepas dengan Kabinet meluluskan mekanisme itu.
“Alhamdulillah, Jemaah Menteri telah meluluskan memorandum tersebut, dengan satu perintah akan dikeluarkan dibawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 (Akta 723). Perintah untuk mewajibkan fasiliti kesihatan ini untuk memaparkan harga ubat di premis masing-masing,” katanya.
Beliau berkata pemaparan harga ubat itu akan dikuatkuasakan melalui perintah yang akan dibuat dibawah AKHAP 2011 (Akta 723).
Seksyen 10 AKHAP memperuntukkan kuasa Menteri mengkehendaki barang atau perkhidmatan ditandakan dengan harga termasuk meliputi bentuk dan cara bagaimana maklumat itu hendak diberikan melalui perintah yang disiarkan dalam warta.
“KPDN amat berharap perintah ini dapat dikuatkuasakan dengan kadar segera dan mengalu-alukan pengumuman Menteri Kesihatan supaya perintah pemaparan harga ubat itu dikuatkuasakan pada 1 Mei ini,” katanya.