PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini diberitahu hakim yang mendengar perbicaraan kes Syed Saddiq Syed Abdul Rahman gagal mengambil kira fakta bahawa pembelaan Ahli Parlimen Muar itu bukan sekadar penafian sebaliknya cabaran yang disokong dengan penjelasan.

Peguam Syed Saddiq iaitu Datuk Hisyam Teh Poh Teik berhujah anak guamnya dalam pembelaan secara konsisten menegaskan bahawa beliau tidak mengarahkan saksi pendakwaan ke-11 Ahmad Redzuan Mohamed Shafi atau saksi pendakwaan ke-13 (SP13) Rafiq Hakim Razali untuk mengeluarkan RM1 juta daripada akaun bank Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

“Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi (Datuk Azhar Abdul Hamid) telah terkhilaf apabila menolak pembelaan Syed Saddiq dan menyifatkan ia sebagai penafian semata-mata,“ katanya pada pendengaran rayuan Syed Saddiq terhadap sabitan dan hukuman terhadap beliau bagi empat kesalahan membabitkan dana Armada.

Hisyam berkata semasa mesyuarat di kediaman perayu yang dipertikai, keputusan secara kolektif telah dibuat oleh kepimpinan tertinggi Armada dan G5 bahawa wang perlu dikeluarkan bagi tujuan kebajikan serta menghulurkan bantuan susulan pandemik COVID-19 selain sempena Ramadan dan Hari Raya.

“Susulan itu, SP13 telah diarah untuk membincangkan jumlah tepat yang diperlukan bagi tujuan itu dengan Exco Armada,“ katanya.

Peguam itu juga berhujah hakim perbicaraan gagal mempertimbang fakta SP13 berada di bawah tekanan yang teruk ketika disiasat sehingga boleh dirumuskan bahawa beliau menyesuaikan keterangannya untuk menyenangkan hati pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Inti pati keterangan SP13 berhubung isu ini ialah beliau (Rafiq Hakim) berada di bawah tekanan yang teruk ketika ditahan oleh SPRM selama enam hari dan mengaku kepada isterinya bahawa beliau sudah tidak tahan lalu menyerah kepada SPRM semasa tempoh tahanan reman.

“Beliau juga mengakui telah menukar keterangannya dan memfokus kepada ketiadaan penyediaan kertas kerja selepas menyedari bahawa Perkara 24.8 Perlembagaan Bersatu menggunakan perkataan perbelanjaan dan bukannya pengeluaran,“ katanya.

Seorang lagi peguam Syed Saddiq iaitu Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden pula berhujah bahawa pertuduhan bersubahan melakukan pecah amanah jenayah (CBT) dan salah guna harta tidak memiliki unsur kesalahan yang sebenar.

“Dana itu telah digunakan bagi tujuan parti dan bukan bagi faedah peribadi anak guam saya. RM1 juta dalam kes ini telah dikeluarkan pada Mac 2020 dan digunakan bagi persediaan mendepani penularan COVID-19 serta bagi Ramadan dan Hari Raya. Tiada satu sen pun daripada RM1 juta ini yang masuk ke akaun (Syed Saddiq). Tujuan kegunaan dana yang disebut tadi juga adalah sah di sisi undang-undang,“ katanya.

Prosiding akan bersambung esok di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.

Turut hadir ibu bapa Syed Saddiq iaitu Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz dan Syed Abdul Rahman Abdullah Asagoff serta aktres Bella Astillah.

Pada 9 Nov 2023, Syed Saddiq dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dengan dua sebatan dan denda RM10 juta oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah, salah guna harta serta pengubahan wang haram membabitkan dana Armada.

Syed Saddiq, 32, didakwa bersubahat dengan bekas Penolong Bendahari Armada iaitu Rafiq Hakim Razali, yang diamanahkan dana RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah jenayah dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Bhd, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun serta boleh dikenakan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, bekas Menteri Belia dan Sukan itu didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu RM120,000 daripada akaun Maybank Islamik Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 dan 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun serta boleh dikenakan sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Beliau turut berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamik Bhd miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Baru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun serta boleh dikenakan sebatan dan denda jika sabit kesalahan.