• 2025-10-06 02:24 PM

KUALA LUMPUR: Penekanan terhadap pemerkasaan guru melalui latihan selaras dengan keperluan pendidikan semasa, khususnya dalam bidang teknologi maklumat dan kecerdasan buatan (AI) wajar diberi perhatian dalam Belanjawan 2026.

Pakar Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Anuar Ahmad berkata peruntukan khas bagi memperkukuh program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) juga diharapkan menjadi antara fokus utama dalam usaha memperkasakan sistem pendidikan negara.

“Keupayaan anak-anak dalam menguasai ilmu sangat bergantung kepada kualiti guru,“ katanya ketika dihubungi Bernama.

Anuar berkata keperluan meningkatkan kemahiran guru ketika ini amat penting bagi memastikan murid dapat mempelajari ilmu berasaskan digital selaras dengan perkembangan teknologi semasa.

Beliau menekankan Malaysia mempunyai sekitar 450,000 orang guru yang sebahagian besar menerima latihan asas lebih 10 hingga 30 tahun lepas.

“Jadi mereka perlu diberi latihan semula bagi meningkatkan kemahiran dalam teknologi maklumat, AI dan digital supaya mampu menyampaikan pembelajaran dengan lebih relevan dan berkesan,“ katanya.

Anuar yang juga Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM) berkata pembudayaan STEM perlu diberi penekanan sejak di peringkat sekolah rendah.

Beliau turut mencadangkan penambahan bilangan guru melalui pembukaan jawatan baharu serta peruntukan gaji bersesuaian.

“Kita menyasarkan seorang guru bagi 25 murid pada setiap bilik darjah,“ katanya.

Bagi persekitaran pembelajaran, Anuar mencadangkan peruntukan lebih besar disediakan bagi penyediaan infrastruktur sekolah sama ada menambah baik atau membina sekolah baharu.

Beliau juga menekankan kepentingan kesejahteraan murid khususnya golongan B40 melalui program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan perkhidmatan kesihatan di sekolah.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) Fouzi Singon menjangkakan kerajaan meneruskan pemberian Bantuan Awal Persekolahan (BAP).

“Kami (NUTP) kekal positif terhadap Kementerian Kewangan (MOF) agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus menerima peruntukan tertinggi dalam Belanjawan 2026,“ katanya. – Bernama