IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah umat Islam sewajarnya menjadikan panduan dan pedoman pemikiran strategik Nabi Muhammad SAW yang berperanan utama membolehkan syiar Islam berkembang dengan menakjubkan, sempena melangkah masuk ke tahun baharu Hijrah 1446.

Baginda bertitah inisiatif Rasulullah memperkenalkan langkah inovatif ketika peristiwa hijrah dengan berjaya menyatukan puak-puak berselisih menjadi ummah yang bersatu serta kejayaan membentuk nilai kemanusiaan sejagat, wajib dijadikan pegangan oleh pemimpin semasa.

“Kepimpinan baginda hendaklah dijadikan contoh teladan bagaimana kepimpinan berwawasan dan hikmah yang abadi berupaya melakukan transformasi meskipun berhadapan pelbagai dugaan, cabaran dan halangan,” titah Sultan Nazrin ketika berangkat sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah 1446H Peringkat Negeri Perak di sini hari ini.

Turut berangkat pada majlis itu Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Sultan Nazrin bertitah langkah strategik Nabi Muhammad itu telah membawa Islam semakin tersebar dan terus berkembang ke serata dunia dan setelah 1, 446 tahun berlalunya peristiwa hijrah, Islam kini dianuti oleh 1.9 bilion orang, menyamai 24.1 peratus penduduk dunia.

Selain itu, Sultan Nazrin berititah dalam dunia semakin menghadapi konflik dan dilanda perpecahan, strategi Rasulullah yang pernah menghasilkan kejayaan, hendaklah dikunjungi, dikaji, diterokai, difahami dan diadaptasi untuk menawarkan harapan baharu.

“Dengan mengkaji pendekatan baginda (Nabi Muhammad), ummah boleh mendapat pengajaran dan panduan berharga untuk urusan-urusan penyelesaian konflik, perundingan, pembangunan masyarakat, serta untuk memperlengkapkan diri menghadapi cabaran semasa.

“Mengamati sirah, ternyata Rasulullah seorang strategis, bijak merancang, melaksana, menilai dan mengambil langkah penambahbaikan hingga risalah Islam berjaya disebarkan dengan pesat dan meluas,” titah baginda.

Titah Sultan Nazrin lagi, Nabi Muhammad juga sentiasa mencernakan minda yang strategik dalam usaha mengangkat martabat ummah sebagai insan karamah.

Baginda bertitah, Rasulullah dikenali sebagai seorang ahli perniagaan yang bijaksana, diserlahkan melalui daya pemikiran strategik dan mengamalkan pendekatan strategik ketika diamanahkan mengurus perniagaan.

“Daya pemikiran strategik menjadi kunci kejayaan Baginda ketika mengatur langkah untuk mengembangkan Islam setelah diangkat bertaraf Rasul, demikian juga ketika mentadbir urus negara dan memimpin angkatan perang.

“Melalui pemikiran strategik yang dimiliki dan tindakan strategik yang diamalkan, Rasulullah SAW telah mencapai pelbagai kejayaan,” titah Sultan Nazrin.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin bertitah sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Perak yang memilih tema ‘Minda Strategik Pencetus Ummah Dinamik’, bermakna minda yang memberi fokus kepada hasrat mahu dicapai, minda berfikiran ke hadapan, bersifat proaktif dan melengkapkan diri agar lebih bersedia menghadapi cabaran.

“... disamping memikirkan penyelesaian menghadapi cabaran menghalang, serta bijak merebut peluang terhampar, minda yang strategik akan berani membawa diri melangkah keluar daripada norma biasa, melihat sesuatu situasi melalui lensa lebih luas.

“Minda yang strategik akan melakukan analisis dan perancangan, mencetus idea baharu ke arah mencapai matlamat, agar dapat berkembang maju dalam persekitaran berubah lagi kompetitif,” titah baginda.

Open Two Websites with Image

Clickable Image