JOHOR BAHRU: Seorang pemilik perniagaan barangan lusuh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merasuah seorang pembantu penguat kuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) berbentuk wang tunai RM500 pada Jun tahun lepas.

Tertuduh, Lee Swee Huat, 55, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan berkenaan di Swee Huat Enterprise, No 34, Jalan Perlaluan Makmur 73, Taman Damai Jaya, Johor Bahru kepada Abu Hassan Othman sebagai dorongan untuk tidak dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 46 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) kerana meletakkan barangan lusuh di tempat awam tanpa kebenaran MBIP.

Kesalahan itu dilakukan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nur Zahida Muhammad Rozi dan Pegawai Pendakwa SPRM Rais Adha Ramli, manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Azrulsani Othman.

Terdahulu, Rais Adha mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM Johor Bahru setiap bulan.

Bagaimanapun Mohamad Azrulsani memohon jaminan rendah, memandangkan anak guamnya tidak berpendapatan tetap dengan pendapatan sekitar RM2,000 sebulan, selain menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis dan tertuduh juga telah memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan dijalankan.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melapor diri di pejabat SPRM Johor Bahru setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah juga menetapkan 5 Mei ini sebagai sebutan semula kes bagi serahan dokumen kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan.